Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Serbuan beri isyarat salah kepada pendatang asing, kata NGO
Diterbitkan:  May 1, 2020 11:35 PM
Dikemaskini: 3:47 PM

Serbuan pihak imigresen yang menyasarkan pendatang tanpa dokumen sah di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) hari ini mungkin menjejaskan usaha kerajaan mengekang penyebaran Covid-19, kata beberapa pertubuhan bukan kerajaan.

Timbalan Pengarah Human Rights Watch Asia Phil Robertson berkata serbuan tersebut memberi isyarat bahawa semua pekerja warga asing akan menjadi sasaran tangkapan jika tidak bekerjasama dengan pihak berkuasa.

"Saya pasti Kementerian Kesihatan tidak suka akan cabaran baru untuk mereka, dan Kementerian Luar akan pening kepala untuk meyakinkan negara luar untuk mengambil kembali rakyat mereka ketika wabak Covid-19 terus meningkat.

"Warga asing ini mungkin akan memulakan pengalaman buruk di bawah penahanan pihak imigresen selama berbulan-bulan dan mungkin bertahun-tahun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Robertson Malaysia juga berisiko mengulangi kesilapan dibuat Singapura yang menumpukan imigran melalui kaedah memudahkan penularan Covid-19.

Dari perspektif kesiahatan awam, katanya, langkah tersebut mungkin perkara paling tidak masuk akal dapat dilakukan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Kementerian Dalam Negeri.

Pada masa sama katanya kerajaan Malaysia nampak komited untuk mempromosikan xenofobia dan ketakutan untuk memindahkan kemarahan masyarakat Malaysia kepada warga asing yang tidak dapat mempertahankan diri.

Kes Covid-19 mungkin meningkat

"Ini tidak mengejutkan jika melihat kepada Muhyiddin yang ingin mengelak daripada bertanggungjawab atas penyebaran pantas Covid-19 ke seluruh Malaysia ketika dia terlalu sibuk bermain politik pada Mac lalu sehingga tidak menyedari krisis berkenaan di depan mata," katanya.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Engage berkata, serbuah siang tadi boleh menyebabkan ketakutan dalam kalangan pendatang asing tanpa izin di Malaysia, menyebabkan mereka bersembunyi walaupun mempunyai simptom Covid-19 atau mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

"Disebabkan Malaysia mempunyai pantai yang panjang, mustahil untuk pihak berkuasa menyekat sepenuhnya kemasukan haram orang dari Indonesia - yang mencatat 10,551 kes setakat hari ini.

"Pada minggu-minggu selepas Aidilfitri mungkin akan menyaksikan peningkatan kes-kes Covid-19 membabitkan individu bukan warganegara tanpa dokumen yang dijangkiti penyakit itu namun menghindari diri daripada pemeriksaan dan pengesanan.

"Dan pengorbanan besar yang dilakukan rakyat Malaysia selama tujuh minggu selama PKP mungkin sia-sia," kata mereka.

Menurut Engage pekerja asing - termasuk yang tiada dokumen sepatutnya - adalah sebahagian daripada penyumbang penting untuk ekonomi Malaysia.

"Walaupun atas alasan ekonomi semata-mata, menghantar pulang pekerja asing ketika ini adalah langkah yang salah dan kesilapan keutamaan kerana ia menghalang rangsangan semula ekonomi dan boleh menyebabkan kejutan rantaian bekalan untuk industri-industri yang sangat bergantung pada pekerja asing,”kata mereka.

Sementara itu Pengarah Eksekutif Tenaganita Glorene A Dass mengakui pendatang asing tanpa izin merupakan masalah di negara ini namun menegaskan langkah penyelesaian secara holistik perlu dicari.

"Ini memerlukan usaha yang lebih daripada agensi dan kementerian kerajaan serta pemegang taruh dan pakar untuk memberikan pandangan sewajarnya serta sumber yang diperlukan untuk mencapai penyelesaian holistik.

"Kini bukan waktunya untuk melakukannya ketika kita berdepan wabak serius yang mengancam kehidupan," katanya.

[Baca berita penuh]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS